Imam Ahmad bin Ahmad bin 'Abdul Lathif asy-Syaraji rahimahullah menulis dalam Thabaqaat al-Khawwash tentang seorang ulama yang shalih lagi faqih bernama Abul Khaththab 'Umar bin al-Mubarak bin Mas`ud bin Saalim al-Ju`fi rahimahumullah. Syaikh 'Umar bin al-Mubarak ini dikenali sebagai Maqthu` al-Lisan (orang yang terpotong lidahnya) kerana satu peristiwa yang dialaminya. Peristiwa yang dihubungkan dengan karamah yang diperolehi Syaikh 'Umar telah dikisahkan oleh Imam asy-Syaraji pada halaman 243-244 kitab tersebut.
Dikisahkan bahawa suatu ketika Syaikh 'Umar bin al-Mubarakrahimahullah pergi menunai ibadah haji dan menziarahi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Syaikh 'Umar dalam ziarahnya kepada makam Junjungan yang mulia serta dua sahabat baginda dalam Masjid Nabawi, telah melantunkan qasidah memuji Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan kedua sahabat baginda, Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhuma. Setelah selesai berqasidah, seorang lelaki daripada penduduk Madinah yang menjadi pengikut Syiah telah datang menemui Syaikh 'Umar untuk mempelawanya ke rumah. Syaikh 'Umar menerima pelawaan lelaki tersebut. Setiba di rumahnya, lelaki tersebut telah mengurung Syaikh 'Umar dan memotong lidahnya kerana beliau telah menggunakan lidahnya untuk memuji Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhuma dalam qasidahnya. Setelah lidahnya dipotong, Syaikh 'Umar dibebaskan dan beliau terus ke makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam untuk mengadu kepada baginda. Pada malamnya, Syaikh 'Umar telah bermimpi didatangi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersama dengan kedua sahabat baginda yang mulia. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam berdiri di sisi kepala Syaikh 'Umar dan mengarahkan Sayyidina Abu Bakar mengembalikan lidah Syaikh 'Umar yang terpotong tadi. Maka Sayyidina Abu Bakar radhiyaAllahu `anhu mengambil lidah Syaikh 'Umar yang terpotong dengan tangannya dan mengembalikannya ke tempat asalnya sebelum dipotong. Kemudian baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dan kedua-dua sahabat baginda mengusap kepala dan sebahagian anggota badan Syaikh 'Umar serta mendoakannya. Ketika Syaikh 'Umar jaga dari tidurnya, beliau mendapati lidahnya telah bersambung kembali seperti sediakala. Setelah selesai ziarah, maka Syaikh 'Umar pulang ke Yaman.
Pada tahun berikutnya, Syaikh 'Umar pergi lagi menunaikan haji dan menziarahi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di Madinah. Sebagaimana tahun sebelumnya, beliau telah melantunkan qasidah dalam Masjid Nabawi memuji Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan dua sahabat baginda tersebut. Selesai berqasidah, datang seorang pemuda yang elok rupa parasnya menjemput Syaikh 'Umar untuk bertamu ke rumahnya. Syaikh 'Umar menerima pelawaan pemuda tersebut dan mengikutnya ke rumah. Syaikh 'Umar mendapati bahawa rumah pemuda tersebut adalah rumah yang pernah beliau datangi tahun sebelumnya, iaitu rumah tempat lidahnya dipotong. Dengan bertawakkal kepada Allah, Syaikh 'Umar masuk ke dalam rumah tersebut dan beliau mendapati di tengah rumah tersebut ada seekor kera yang berikat. Pemuda tersebut menjelaskan kepada Syaikh 'Umar bahawa dia adalah anak kepada lelaki yang telah memotong lidah Syaikh 'Umar tahun sebelumnya. Seterusnya dia menceritakan bahawa setelah memotong lidah Syaikh 'Umar, pada malamnya bapanya telah bertukar menjadi kera. Maka kera yang diikat di tengah rumah tersebut itu adalah bapanya. Setelah melihat kejadian yang menimpa bapanya, pemuda tersebut serta segala ahli keluarganya telah bertaubat dan meninggalkan ajaran Syiah yang dianut oleh bapanya serta mereka kembali mencintai dua sahabat yang mulia, Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu 'anhuma.
Allahu ... Allah, mudah-mudahan kita mendapat syafaat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan para sahabat serta para awliya. Semoga kita terhindar daripada segala macam kesesatan dan mati dalam husnul khatimah berpegang teguh atas perjalanan Ahlis Sunnah wal Jama`ah.
Artikel by :https://al-inaya.blogspot.co.id